PERMATANG PAUH: Lapan Hakim Mahkamah Rayuan dan 14 Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dijadual mengangkat sumpah pada 28 Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata proses pelantikan itu telah melalui semua peringkat sewajarnya termasuk penilaian Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), perbincangan dengan Raja-Raja Melayu serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ramai tanya saya kenapa tidak umum lebih awal. Saya tidak boleh jawab sewenang-wenangnya kerana proses pelantikan hakim melibatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Ia perlu melalui perbincangan bersama Raja-Raja dan setelah dipersetujui barulah dibawa semula kepada Agong untuk diperkenan,“ katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di sini hari ini.
Anwar berkata tiada hakim yang dipecat sepertimana digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya proses pemilihan hakim baharu perlu dilaksanakan dengan teliti dan penuh hormat kepada sistem Raja Berperlembagaan - BERNAMA